Rakan Taulan...

Rahmat Allah.

Dari Jabir r.a katanya, dia mendengar Rasulullah s.a.w bersabda : “Bukan amal seseorang yang memasukkannya ke syurga atau melepaskannya dari neraka, termasuk juga aku, tetapi ialah semata-mata rahmat Allah S.W.T belaka”. (Muslim)

Selasa, 11 Disember 2012

15 Perkara ini nescaya bala' bencana akan menimpa mereka

Daripada Ali Bin Abu Talib r.a. berkata: Telah bersabda Rasulullah s.a.w

Jika umatku melakukan 15 perkara yang berikut ini, nescaya bala' bencana akan menimpa mereka. Para sahabat lalu bertanya: "Apakah dia itu wahai Rasulullah? Jawab baginda:
  1. Jika harta rampasan perang bertukar tangan.
  2. Jika amanat dikira suatu keuntungan.
  3. Jika zakat dianggap sebagai denda (dikeluarkan secara terpaksa)
  4. Jika lelaki terlampau tunduk kepada isteri.
  5. Jika ramai orang menderhakai kepada ibunya.
  6. Jika orang terlampau patuh pada teman.
  7. Sedang ayah sendiri dihampakan dan disia siakan
  8. Jika ada orang suka bertengkar tengkar dalam masjid.
  9. Apabila orang yang rendah maruahnya menjadi ketua sesuatu kaum.
  10. Apabila orang yang memuliakan orang lain kerana takutkan kejahatannya.
  11. Apabila minuman keras tersebar luas.
  12. Apabila ramai orang memakai kain sutera.
  13. Apabila penyanyi penyanyi wanita diutamakan dan diagungkan.
  14. Apabila alat alat muzik digunakan.
  15. Apabila umat hari ini mengutuki umat sebelumnya.
Apabila hal hal serupa ini berlaku, maka tunggulah ketika itu akan tibanya angin panas, atau bahaya bahaya lain seumpama gempa bumi dan penukaran corak dan rupa.

Diriwayatkan oleh Imam At-Tirmidzi, seraya berkata: Hadis ini adalah gharib, yang hanya diriwayatkan dari Saiyidina Ali bin Abu Talib semata.

Kurang Belas-kasihan dan sentiasa menyangka buruk...

Dengan nama Allah Maha Pengasih lagi Penyayang

Tiada upaya dan kuasa melainkan dengan Allah yang Maha Tinggi dan Maha Besar. Maha Suci Engkau. Wahai Tuhan! Tiada Ilmu bagiku melainkan apa yang engkau ajariku. Sesungguhnya Engkau Maha Mengetahui Maha Bijaksana.

Segala puji bagi Tuhan seru sekalian alam, yang telah menjadikan dakwah kepada kebenaran, petunjuk kepada kebaikan dan nasihat kepada kaum Muslimin sebagai semulia mulia amal bakti, setinggi tinggi darjat dan sepenting penting urusan dalam Agama iaitulah para Nabi Allah yang diutus, dan jalan para auliyaNyayang soleh, juga para ulama yang patuh, yang mendalami seluruh ilmu pengetahuan dengan yakin. Selawat dan Sejahtera atas junjungan dan penghulu kita Nabi Muhammad, Nabi yang Amin dan kekasih yang teguh, penutup sekalian para nabi, imam sekalian para muttaqin, pemimpin bagi orang orang terdahulu dan yang terkemudian.

Adapun perasaan kurang rahmat dan belas kasihan terhadap kaum Muslimin, maka yang demikian itu menunjukkan kerasnya hati, kejam, bengis dan ganas. Semua sifat sifat itu adalah dicela dan buruk, sebagaimana sabda Rasulullah SAW:

"Tunjukkanlah belas-kasihan terhadap orang orang yang di muka bumi, niscaya Tuhan yang di langit akan membelas-kasihanimu. Berbelas-kasihanlah, niscaya adan dibelas-kasihani pula. Sesungguhnya Allah merahmati para hambaNya yang bersifat belas-kasihan."

Sabda Rasulullah SAW lagi :

"Perasaan belas-kasihan itu tidak akan dicabut, melainkan daripada seorang yang jahat"

Orang yang tiada menyimpan perasaan belas-kasihan dan rahmat di hatinya terhadap kaum Muslimin, terutama sekali kepada orang orang yang susah, miskin, dan lemah, dan terhadap orang orang yang ditimpa bala' dan bencana, adalah orang yang mempunyai keras hatinya, lemah imannya dan sentiasa terjauh dari Tuhannya.

Adapun yang menyangka buruk terhadap kaum Muslimin, maka sifat itu dicela dan buruk. Rasulullah SAW pernah bersabda :

"Dua perkara tiada sesuatu pun yang lebih utama daripadanya, iaitu menyangka baik terhadap Allah Ta'ala, dan menyangka baik terhadap hamba- hamba Allah. Dan dua perkara lagi, tiada sesuatu pun yang lebih buruk daripadannya, iaitu: menyangka buruk terhadap Allah Ta'ala, dan menyangka buruk terhadap hamba hamba Allah."

Maksud buruk sangka terhadap kaum Muslimin, ialah: 'Anda menyangka buruk terhadap perbicaraan dan perbuatan mereka, yang pada lahirnya kelihatan baik dan bagus. Akan tetapi anda sengaja memahamkan maksud sebaliknya dari apa yang mereka lahirkan itu.

Ataupun anda menganggap semua perbuatan dan percakapan orang lain yang mungkin ada baiknya dan ada jahatnya, semuanya tidak baik, padahal anda boleh menganggap kesemuanya baik. Itu juga dikira buruk sangkanya, akan tetapi tidaklah serupa dengan yang pertama. Adapun baik sangka terhadap kaum Muslimin,   adalah sebalik yang demikian. 

Segala perbuatan dan percakapan mereka, jika lahirnya baik, anda menganggapnya baik dan menyangka yang baik saja. Manakala perbuatan dan percakapan itu mungkin sebaliknya, anda menganggapnya baik semata mata. Perlakukanlah serupa itu sekadar kemampuan, kemudian hendaklah anda meminta diperbantu Allah Ta'al, dan Maha Pemberi Taufiq"

dipetik dari Kitab An-Nashaaih Ad-Daniyah Wal-Washaaya Al-Imaaniyah.....

Janganlah kita memperkecilkan amalan orang lain, sungguhpun kita selalu pergi ke majlis ilmu....

Daripada Abdur Rahman Bin Samurah r.a. berkata : Sekali peristiwa Rasulullah SAW keluar, seraya berkata: Sesungguhnya aku telah bermimpi ajaib malam kelmarin.....

Aku telah melihat seorang dari umatku telah didatangi oleh Malaikat Maut untuk mengambil nyawanya, maka Malaikat itu telah terhalang oleh ketaatannya kepada kedua ibu bapanya.

Aku melihat juga seorang dari umatku telah disediakan untuk menerima seksaan kubur, maka ia telah diselamatkan oleh wudhu'nya.

Aku melihat juga seorang dari umatku sedang dikerumuni oleh syaitan syaitan, maka ia telah dibebaskan dari bahayanya oleh zikrullah..

Aku melihat juga seorang dari umatku telah diseret oleh Malaikat-azab, maka segera menjelang sembahyangnya serta melepaskannya dari tangan mereka.

Aku melihat juga seorang dari umatku sedang ditimpa dahaga yang berat, setiap ia mendatangi sesuatu perigi, dihalang untuk meminum daripadanya, maka segera menjelang puasanya serta memberikannya minum sehingga ia merasa puas.

Aku melihat juga seorang dari umatku yang mengunjungi kumpulan para nabi, yang ketika itu sedang duduk berkumpul kumpul, setiap ia mendekati mereka, ia diusir dari situ, maka menjelmalah mandi junubnyasambil meminpinnya ke kumpulanku seraya menunjukkannya supaya duduk di sisiku.

Aku melihat juga seorang dari umatku dikabusi oleh suasana gelap gulita, dihadapannya gelap, di kanannya gelap, di kirinya gelap, di bawahnya juga gelap, sedang ia dalam keadaan binggung, maka menjelmalah haji dan umrahnya, lalu mengeluarkannya dari suasana gelap gulita itu dan memasukkannya ke dalam suasana terang menderang.

Aku melihat juga dari seorang umatku berbicara kepada kaum Mu'minin, akan tetapi tidak seorang dari mereka yang mahu membalas bicaranya, maka menjelmalah silaturahimnya seraya menyeru orang orang itu katanya "wahai kaum Mu'minin sambutlah bicaranya, lalu mereka pun berbicaralah dengannya.

Aku melihat juga seorang dari umatku sedang menepis nepis bahang api dan percikannya dari mukanya, maka segera menjelmalah sedekahnya lalu menabiri muka dan kepalanya dari bahaya api itu.

Aku melihat juga seorang dari umatku sedang diseret oleh Malaikat-Zabaniah ke merata tempat. maka segera menjelmalah Amar Ma'ruf dan Nahi Mungkarnya seraya menyelamatkannya dari cengkaman mereka serta menyerahkannya pula kepda Malaikat-Rahmat.

Aku melihat juga dari seorang umatku sedang merangkak rangkak, antaranya dengan Tuhan dipasang hijab(tabir), maka jelmalah budipekertinya seraya memimpinnya sehingga dibuka hijab tadi dan masuklah ia ke hadrat Allah Ta'ala.

Aku melihat juga dari seorang umatku terheret ke sebelah kiri oleh buku catitannya, maka menjelmalah perasaan takutnya kepada Allah menukarkan tujuan buku catitat itu ke arah kanan.

Aku melihat juga seorang dari umatku terangkat timbangannya, maka menjelmalah anak anaknya yang mati kecil, lalu menekan timbangan itu sehingga menjadi berat pula.

Aku melihat juga seorang dari umatku sedang berdiri dipinggir Jahannam, maka menjelmalah perasaan gerunnya terhadap seksaan Allah Ta'ala, lalu membawanya jauh dari tempat itu.

Aku melihat juga seorang dari umatku terjerumus ke dalam api neraka, maka menjelmalah airmatanya yang mengalir kerana takut kepada Allah Ta'ala, lalu menyelamatkannya dari api neraka itu.

Aku melihat juga dari seorang umatku sedang meniti 'shirat' (titian) manakala seluruh tubuhnya bergoncang, seperti bergoncangnya dedaun yang ditiup angin, maka menjelmalah baik sangkanya terhadap Allah Ta'ala, lalu menenteramkan kegoncangannya itu dan mudahlah ia meniti hingga ke hujung titian itu.

Aku melihat juga dari seorang umatku sedang meniti di atas 'shirat'`, kadangkala ia merangkak dan kadangkala ia meniarap, maka menjelmalah selawatnya ke atas diriku, lalu ia pun memimpin tangannya dan mengajaknya berdiri dan meniti hingga ke penghujung titian itu.

Aku melihat juga seorang dari umatku sudah hampir tiba di pintu syurga, dan dengan sekonyong konyong pintu pintunya ditutup, maka menjelmalah penyaksiannya bahawa tiada Tuhan melainkan Allah, lalu membukakan pintu pintu syurga itu untuknya, sehingga ia boleh memasukinya.

Aku melihat juga ada ramai orang yang digunting gunting lidahnya, maka aku bertanya Jibril..siapa gerangan mereka itu, maka Jibril menjawab : Mereka itulah orang orang yang suka membawa mulut ke sana ke mari, Dan aku melihat juga orang orang yang digantung dengan lidah lidah mereka, maka aku bertanya Jibril siapa gerangan mereka itu, maka Jibril menjawab; Mereka itulah orang orang yang melemparkan tuduhan terhadap kaum Mu'minin dan Mu'minat dengan tuduhan tanpa bukti.

Hadis ini telah disebut oleh Imam As-Sayuthi di dalam kitabnya Syarhus-Shudur, sambil berkata, ia telah dikeluarkan oleh At-Tabarani di dalam kitab Al-Kabir. Begitu pula oleh Al-Hakim At-Tarmidzi di dalam kitab Nawadirul-Ushul, dan Al-Isfahani di dalam kitabnya At-Targhib.